Wednesday, December 12, 2007

PERHIMPUNAN WARIKH REMBAU KUALA PILAH

HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH 1840-1925
11 generasi berhimpun

Perjumpaan keluarga besar Allahyarham Mohammad Noor Abdullah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpun 11 generasi buat julung kalinya sejak usaha menjejaki mereka dimulakan 45 tahun lalu.

Malah, suasana perjumpaan penuh emosi dan warna-warni diadakan di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini, 081207, jelas menceritakan betapa kesemua para hadhirin bersyukur dan berpuas hati dengan kejayaan program itu.

“Ada hikmah di sebalik kegagalan perancangan sebelum ini. Usaha mengumpul salasilah keluarga bermula pada 1962 oleh keluarga di Rembau, iaitu Cikgu Ghani, kira-kira 37 tahun selepas Allahyarham meninggal dunia. Namun, selama dua tahun usahanya gagal.

“Usaha diteruskan Mohamad Bador pada 2004 dan akhirnya selepas tiga tahun, baru perjumpaan dirancang ini berjaya,” kata setiausaha majlis perjumpaan itu, Kamaruddin Mohamad.

Kamaruddin berkata, beliau bersama ahli jawatankuasa ditubuhkan kemudian berusaha mencari maklumat daripada Internet, selain berhubung dengan ketua keluarga di seluruh negara.

“Memang sukar pada mulanya kerana banyak masalah, termasuk tidak tahu alamat dan hanya sedikit bersedia hadir. Kami bertekad walaupun penyertaan sedikit, perjumpaan akan tetap diadakan. Tarikh tutup ditetapkan pada 30 November 2007.

“Menjelang tarikh tutup 200 orang mendaftar dan pada 071207, 300 orang. Alhamdulillah pada hari perjumpaan lebih 500 orang mendaftar,” katanya.

Menurutnya, waris keluarga Allahyarham Mohammad Noor selain menetap di seluruh negara turut datang dari Singapura.

Mereka mempunyai pelbagai latar belakang membanggakan dan menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Antara yang hadir ialah bekas Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Nordin Keling dan adiknya bekas Pengurus Felda, Datuk Ibrahim, Pengurus Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Amir Nordin, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Dr Mazlan Ahmad dan bekas pemain bola sepak Selangor, Nazab Hidzan.

Katanya, perjumpaan bertujuan merapatkan silaturahim waris keluarga itu yang terbahagi dua, iaitu dari Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Perjumpaan hari ini memang signifikan berbanding perjumpaan lain misalnya hari raya, kerana membabitkan ramai waris dari generasi ketiga yang masih ada hingga ke-11.

“Saya gembira kerana selain adik beradik, generasi muda dapat saling kenal antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim, 69, berkata, ketika melawat Padang dan Bukit Tinggi, Indonesia selama tiga hari bermula 26 Julai 2006 beliau berbincang dengan pegawai dan penduduk tempatan yang mengesahkan wujud sebuah kampung dinamakan Kampung Gambang di daerah Pariaman, kira-kira 100 kilometer dari Padang.

“Kampung ini tempat asal Allahyarham yang kemudian berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 18 tahun dari Sumatera ke Melaka dan menjadi anak angkat Datuk Dagang. Allahyarham adalah peniaga yang sering berulang alik ke Makkah.

Allahyarham lahir pada 1840 dan meninggal dunia ketika berumur 85 tahun pada 25 Disember 1925,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, sesi pengenalan latar belakang Allahyarham Mohammad dan pengenalan waris tertua turut diadakan.Difahamkan, Allahyarham berketurunan Wali Sembilan Darjat Pagar Ruyung Minang Kabau, Bukit Tinggi Sumatra.

Waris tertua adalah Ayub Mohammad, 89, Aishah Ismail, 84, Dr Mohamad Noordin, 81, dan adiknya, Zainal Abidin, 80, serta Nordin Daud, 78, yang juga satu-satunya cucu beliau yang masih hidup.

Waris termuda ialah Nur Farah Qistina Mohd Faizal berusia empat bulan 10 hari.

Berdasarkan kajian Kamaruddin pula, Allahyarham selain aktif berniaga, pernah berkhidmat sebagai penasihat Agama Yamtuan Antah dengan gelaran Datuk Sedia Diraja di Kuala Pilah.

METRO AHAD, 091207

No comments: