Wednesday, December 12, 2007

PERHIMPUNAN WARIKH REMBAU KUALA PILAH

HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH 1840-1925
11 generasi berhimpun

Perjumpaan keluarga besar Allahyarham Mohammad Noor Abdullah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpun 11 generasi buat julung kalinya sejak usaha menjejaki mereka dimulakan 45 tahun lalu.

Malah, suasana perjumpaan penuh emosi dan warna-warni diadakan di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini, 081207, jelas menceritakan betapa kesemua para hadhirin bersyukur dan berpuas hati dengan kejayaan program itu.

“Ada hikmah di sebalik kegagalan perancangan sebelum ini. Usaha mengumpul salasilah keluarga bermula pada 1962 oleh keluarga di Rembau, iaitu Cikgu Ghani, kira-kira 37 tahun selepas Allahyarham meninggal dunia. Namun, selama dua tahun usahanya gagal.

“Usaha diteruskan Mohamad Bador pada 2004 dan akhirnya selepas tiga tahun, baru perjumpaan dirancang ini berjaya,” kata setiausaha majlis perjumpaan itu, Kamaruddin Mohamad.

Kamaruddin berkata, beliau bersama ahli jawatankuasa ditubuhkan kemudian berusaha mencari maklumat daripada Internet, selain berhubung dengan ketua keluarga di seluruh negara.

“Memang sukar pada mulanya kerana banyak masalah, termasuk tidak tahu alamat dan hanya sedikit bersedia hadir. Kami bertekad walaupun penyertaan sedikit, perjumpaan akan tetap diadakan. Tarikh tutup ditetapkan pada 30 November 2007.

“Menjelang tarikh tutup 200 orang mendaftar dan pada 071207, 300 orang. Alhamdulillah pada hari perjumpaan lebih 500 orang mendaftar,” katanya.

Menurutnya, waris keluarga Allahyarham Mohammad Noor selain menetap di seluruh negara turut datang dari Singapura.

Mereka mempunyai pelbagai latar belakang membanggakan dan menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Antara yang hadir ialah bekas Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Nordin Keling dan adiknya bekas Pengurus Felda, Datuk Ibrahim, Pengurus Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Amir Nordin, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Dr Mazlan Ahmad dan bekas pemain bola sepak Selangor, Nazab Hidzan.

Katanya, perjumpaan bertujuan merapatkan silaturahim waris keluarga itu yang terbahagi dua, iaitu dari Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Perjumpaan hari ini memang signifikan berbanding perjumpaan lain misalnya hari raya, kerana membabitkan ramai waris dari generasi ketiga yang masih ada hingga ke-11.

“Saya gembira kerana selain adik beradik, generasi muda dapat saling kenal antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim, 69, berkata, ketika melawat Padang dan Bukit Tinggi, Indonesia selama tiga hari bermula 26 Julai 2006 beliau berbincang dengan pegawai dan penduduk tempatan yang mengesahkan wujud sebuah kampung dinamakan Kampung Gambang di daerah Pariaman, kira-kira 100 kilometer dari Padang.

“Kampung ini tempat asal Allahyarham yang kemudian berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 18 tahun dari Sumatera ke Melaka dan menjadi anak angkat Datuk Dagang. Allahyarham adalah peniaga yang sering berulang alik ke Makkah.

Allahyarham lahir pada 1840 dan meninggal dunia ketika berumur 85 tahun pada 25 Disember 1925,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, sesi pengenalan latar belakang Allahyarham Mohammad dan pengenalan waris tertua turut diadakan.Difahamkan, Allahyarham berketurunan Wali Sembilan Darjat Pagar Ruyung Minang Kabau, Bukit Tinggi Sumatra.

Waris tertua adalah Ayub Mohammad, 89, Aishah Ismail, 84, Dr Mohamad Noordin, 81, dan adiknya, Zainal Abidin, 80, serta Nordin Daud, 78, yang juga satu-satunya cucu beliau yang masih hidup.

Waris termuda ialah Nur Farah Qistina Mohd Faizal berusia empat bulan 10 hari.

Berdasarkan kajian Kamaruddin pula, Allahyarham selain aktif berniaga, pernah berkhidmat sebagai penasihat Agama Yamtuan Antah dengan gelaran Datuk Sedia Diraja di Kuala Pilah.

METRO AHAD, 091207

Tuesday, December 11, 2007

LATAR BELAKANG

LATAR BELAKANG ALLAHYARHAM HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH

3. PENDAPAT DAN KAJIAN YANG DIBUAT MELALUI RUJUKAN MAKLUMAT SEJARAH

(a) Menurut amalan biasa, sekiranya Hj Mohammad Noor bukan keturunan kerabat Raja pada zaman itu, Yamtuan Antah tidak akan menawarkan jawatan Penasihat Agama.

(b) Begitu juga jawatan Dato’Sedia Diraja, tidak akan ditawarkan kepada bukan keturunan kerabat diraja.

(c) Menurut maklumat arwah Hj Husin Talib, beliau telah dimaklumkan oleh nindanya Hendon bt Hj Mohammad Noor, iaitu kesemua adik beradik nya Rembau dan Kuala Pilah memiliki pangkal nama Raja tetapi apabila telah dilucutkan, telah menggunakan nama biasa.

(d) Walau bagaimana pun keturunan isteri kedua Fatimah ada hubung kait dengan keturunan Yamtuan Antah melalui salasilah keturunan sebenar. Ibu Fatimah waris suku Biduanda bernama Che Sabariah bt Dato Baginda Muda telah berkahwin dengan Abdul Rahman dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Halijah, Che Siti dan Fatimah. Che Siti telah berkahwin dengan YAM Tunku Yamtuan Antah sebagai isteri kedua Yamtuan dan dikurniakan dua orang anak iaitu YAM Tunku Abdul Kahar dan YAM Tunku Sulaiman. Fatimah telah berkahwin dengan Hj Mohammad Noor.

(e) Menurut perhubungan persaudaraan Hj Mohammad Noor bersama isteri Fatimah melalui kekandanya Che Siti, Hj Mohammad Noor dengan Yamtuan Antah adalah seperti berikut: (i) Perhubungan Hj Mohammad Noor dengan Yamtuan Antah adalah ‘biras’. (ii) YAM Tunku Abdul Kahar dan YAM Tunku Sulaiman anah Che Siti dengan Yamtuan Antah adalah anak saudara Hj Mohammad Noor bersama Fatimah. Ianya juga termasuk YAM Tunku Muhammad Ibni Al Marhum Yamtuan Antah, Yamtua Besar NS adalah juga anak saudara Hj Mohammad Noor. (Hj Mohammad Noor telah dipanggil oleh Tunku Yamtuan Muhammad untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Sulitnya dengan gelaran Dato Sedia Diraja.) (iii) Berdasarkan kepada salasilah tersebut, YAM Tuanku Abdul Rahman ibni Al Marhum Yamtuan Muhammad, Yamtuan Besar NS dan juga Agung Pertama Malaysia adalah cucu saudara Hj Mohammad Noor bersama Fatimah.





Walau bagaimana pun semua pendapat dan kajian tersebut tertakluk kepada maklumat yang diterima daripada cucu cicit Hj Mohammad Noor dan disokong oleh kajian yang dibuat melalui internet URL http://www.4dw.net/royalark/Malaysia/negri3.htm. Apa yang paling penting kita semua waris rumpun keluarga Allahyarham Haji Mohammad Noor bin Abdullah memohon doa semoga rohnya dan anak cucu cicitnya yang telah pulang ke Rahmatullah dicucuri rahmat oleh Allah SWT Amin.

LATAR BELAKANG



LATAR BELAKANG
ALLAHYARHAM HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH


2. MAKLUMAT YANG DISAMPAIKAN OLEH CUCU TERTUA HJ MOHAMMAD NOOR IAITU HJ NOORDIN BIN HJ DAUD (JITRA, KEDAH) DAN CICITNYA ALLAHYARHAM HJ HUSSIN BIN TALIB (REMBAU) KEPADA CUCU DAN ANAK SAUDARANYA KAMARUDDIN BIN MOHAMMAD (SETIAUSAHA SEKRETARIAT) (SAUDARA MARA DARI REMBAU).

Maklumat permulaan telah disampaikan oleh cicit Hj Mohammad Noor iaitu Hj Hussin bin Talib dan maklumat seterusnya oleh cucu Hj Mohammad Noor iaitu Hj Nordin bin Hj Daud, kepada Kamaruddin Mohammad. Maklumat yang diterima adalah hampir sama dengan maklumat Hjh Sawiyah tetapi terdapat penambahan melalui faktor berikut:

1.1 Hj Nordin dan Hj Husin adalah cucu dan cicit tertua dari isteri pertama Bariah (Rembau) Hj Mohammad Noor sebelum beliau berkahwin dengan Fatimah isteri kedua (Kuala Pilah).
1.2 Hj Mohammad Noor telah berkahwin dengan Bariah isteri pertama dan telah mendapat empat (4) orang anak iaitu Hindon, Jariah, Md Yatim dan Hj Daud serta empat belas (14) orang cucu.
1.3 Menurut dari pendapat Tok Ayob bin Mohammad semasa Hari Raya Aidilfitri kedua (141007) di Kuala Pilah, Tok Ayob menyatakan yang Hj Mohammad Noor telah berkahwin di Rembau dahulu, mendapat anak dan cucu, barulah Hj Mohammad berkahwin dengan isteri kedua Fatimah di Kuala Pilah.

Berikut adalah susunan maklumat yang diterima daripada Tok Ngah Hj Nordin Hj Daud dan arwah Pa’ Long Husin Talib kepada Kamaruddin Mohammad dan mengambil cerita moyang Hjh Sawiyah serta kajian yang dibuat:

Haji Mohammad Noor yang berasal dari Sumatera semasa umur mudanya telah berhijrah ke Mekah untuk menuntut ilmu agama Islam dan telah bermastautin agak lama di Mekah. Pada zaman dahulu hanya orang yang berkeupayaan, berharta atau orang orang kaya sahaja yang boleh ke-luar negeri untuk menuntut ilmu. Menurut Hj Husin b Talib, Hj Mohammad Noor adalah berketurunan kerabat diraja daripada Pagaruyung. Pendapat ini disokong oleh Hj Nordin bin Hj Daud, cucu Hj Mohammad Noor.

Pada tahun 1869 apabila Tengku Yam Tuan Antah ibni Yamtuan Radin naik takhta sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Yam Tuan Antah sedang mencari Penasihat Agama Istana. Tengku Yam Tuan Antah telah mendapatkan pertolongan daripada kerabat diraja Pagaruyung untuk memperkenalkan seseorang untuk jawatan tersebut.

Pihak istana Pagaruyung telah mencadangkan Hj Mohammad Noor atau nama sebenarnya ialah Raja Haji Mohammad Noor bin Raja Abdullah yang masih berada di Mekah. Umur Hj Mohammad Noor pada masa itu ialah lebih kurang 29 tahun (1869-1840 = 29). Seorang yang bernama Abdul Rahman berkemungkinan keturunan kerabat diraja telah diminta memanggil balek Hj Mohammad Noor ke Kuala Pilah untuk menghadap Yamtuan Antah.

Hj Mohammad Noor telah berkhidmat sebagai Penasihat Agama Yamtuan Antah dan disinilah hubungan mereka amat akrab seperti yang diceritakan oleh anak Hj Mohammad Noor iaitu Hjh Sawiyah. Berdasarkan kepada faktor umur dan tahun, umur Hj Mohammad Noor adalah lebih kurang tidak jauh daripada umur Tengku Yamtuan Antah atau berkemungkinan mereka berdua adalah talian persaudaraan dalam golongan kerabat Pagaruyung.

Oleh kerana keakrapan perhubungan mereka, Tengku Yamtuan Antah mencadangkan Hj Mohammad Noor berkahwin dengan Che Siti dan Tengku Yamtuan Antah berkahwin dengan kekanda Che Siti iaitu Fatimah. Hj Mohammad Noor tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mencadangkan Tengku Yamtuan Antah berkahwin dengan Che Siti dan beliau berkahwin dengan Fatimah. Tengku Yamtuan Antah akhirnya memilih Che Siti sebagai isteri keduanya atas cadangan Hj Mohammad Noor.

Walau bagaimana pun berdasarkan pembelajaran agama Islam yang mendalam, minat Hj Mohammad Noor lebih kepada berniaga dan pendakwah agama. Menurut tatasusila kerabat diraja, raja tidak boleh berniaga atau sebaliknya. Berdasarkan kepada pertimbangan tersebut, Hj Mohammad Noor telah membuat keputusan untuk balek ke Sumatera tanpa meneruskan cadangan Yamtuan Antah untuk berkahwin kerana akan terikat sebagai kerabat diraja.

Apabila sampai di Sumatera (Pagaruyung), Hj Mohammad Noor membuat keputusan untuk berkahwin dengan orang biasa bukan kerabat diraja. Maka beliau telah memilih Kampung Gambang, Daerah Pariaman, Padang, Sumatera Barat. Kampung Gambang Daerah Pariaman dipilih oleh Hj Mohammad Noor kerana lokasinya ditepi laut dan sesuai dengan jiwanya mendapat ketenangan serta mudah untuk belayar bagi mencapai hasratnya untuk berniaga.

Walau bagaimana pun, menurut maklumat, perkahwinan dengan isterinya di Pariaman tidak memperolehi anak. Hj Mohammad Noor membuat keputusan untuk merantau ke Malaya dan terus ke Rembau. Sama ada isterinya di Pariaman meninggal atau di ceraikan tiada maklumat diperolehi.

Apabila sampai di Rembau, Hj Mohammad Noor terus ke kampung Tanjung Keling, satu mukim di Kampung Masjid Senama, Rembau, dan telah berkahwin dengan Bariah. Menurut maklumat daripada arwah Hj Husin Talib dan Tok Ngah Haji Nordin Hj Daud yang sama berpendapat berikut:

(a) Untuk mengelak beliau diketahui berketurunan kerabat diraja dari Pagaruyung, Hj Mohammad Noor mengenalkan dirinya berasal dari Daerah Pariaman, Padang, Sumatera Barat sebagi perantau biasa.
(b) Semasa dalam pelayaran dari Sumatera ke Melaka, Hj Mohammad Noor telah dijejaki oleh lanun/perompak kerana beliau adalah pedagang emas dan lain lain barangan. Untuk mengelak dijejak, Hj Mohammad Noor telah menyamar sebagai pendakwah agama dan telah menyembunyikan keturunan kerabatnya.

Setelah berkahwin dengan Bariah dan mendapat empat (4) orang anak serta beberapa orang cucu, menurut maklumat dari arwah Hj Husin Talib, Hj Mohammad Noor telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Tuanku Yamtuan Muhammad ibni Al Marhum Yamtuan Antah sebagai Dato’ Sedia Diraja di Kuala Pilah. Setakat ini tiada maklumat diperolehi, samaada Hj Mohammad Noor berkahwin dengan Fatimah semasa pemerintahan Tengku Yamtuan Antah atau Tuanku Yamtuan Muhammad anakanda Yamtuan Antah.

Pemerintahan Tengku Yamtuan Antah sebagai Yang Dipertuan Besar ialah dari tahun 1869 hingga tarikh mangkat 1888 dan pemerintahan Tuanku Muhammad ibni Al Marhum Yamtuan Antah ialah diantara 1888 hingga tarikh mangkat 1933. Hj Mohammad Noor mula berkhidmat dengan Yamtuan Antah sebagai penasihat agama ialah pada tahun 1869. Tarikh meninggal dunia Hj Mohammad Noor ialah pada 25hb Disembar 1925. Berdasarkan pada maklumat tersebut Hj Mohammad Noor berkemungkinan berkhidmat dengan Tengku Yamtuan Antah sebagai Penasihat Agama dan dengan anakanda Yamtuan Antah iaitu Tuanku Muhammad sebagai Dato’ Sedia Diraja (S/Usaha Sulit).

Menurut maklumat, oleh kerana minatnya untuk berniaga dan sebagai pendakwah agama, pihak istana telah melucutkan nama raja dan Hj Mohammad Noor menjadi rakyat biasa. WALLAHU’ALAM.

LATAR BELAKANG




LATAR BELAKANG
ALLAHYARHAM HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH


MAKLUMAT YANG DI SAMPAIKAN OLEH HJH SAWIYAH BT HJ MOHD NOOR KEPADA ANAKANDA NYA DATO HAJI IBRAHIM HJ KELING (MENURUT SAUDARA KUALA PILAH)

Maklumat berhubungan dengan Allahyarham Haji Mohammad Noor tidak banyak diperolehi. Ini mungkin kerana salah satu atau semua sebab sebab berikut:

1.1 Beliau tidak suka menyatakan perihal diri keluarga dan tempat asalnya.
1.2 Tiada antara anak anak nya yang berminat atau sanggup mendapatkan maklumat dirinya.

Menurut anaknya Hjh Sawiyah, Hj Mohammad Noor berasal dari Kampung Gampang (Gambang). Dalam lawatan Dato’ Hj Ibrahim ke Bukit Tinggi dalam tahun 1996, didapati tiada siapa yang mengetahui akan kampung tersebut di Bukit Tinggi.

Melalui percakapan Dato’ Hj Ibrahim dengan Dato’ Muhammad d Ahmad (Am), anak kepada Hjh Kalsum, cucu kepada Hj Tamin yang telah beberapa angkat kepada ninda Hj Mohammad Noor, Kampung Gambang ini terletak di Daerah Pariaman, Padang, Sumatera Barat.

Dalam lawatan Dato’ Hj Ibrahim ke Padang dan Bukit Tinggi dari 26072006 hingga 29072006 dan melalui perbincangan dengan pegawai dan penduduk tempatan di Padang, adalah telah disahkan terdapat Kampung Gambang di Daerah Pariaman. Pariaman terletak disebelah pantai kira kira 100km dari Padang.

Menurut maklumat cucu Hj Mohammad Noor iaitu Ayob b Mohammad yang diceritakan kepada Dato’ Hj Ibrahim, Hj Mohammad Noor datang ke Tanah Melayu ketika berumur 18 tahun. Beliau datang dari Sumatera ke Melaka dan telah menjadi anak angkat kepada Dato’ Dagang di Melaka. Dato’ Dagang ini mempunyai tiga (3) orang anak laki laki iaitu Yusry, Ibrahim dan Hj Kadir. Malangnya tiada sebarang maklumat diperolehi berkaitan anak anak Dato’ Dagang tersebut.

Besar kemungkinan dari Melaka Hj Mohammad Noor merantau ke Rembau dan berkahwin dengan isteri pertamanya Bariah (nama sebenarnya dan bukan Burok).

Perjalanan melalui Rembau ini adalah suatu tradisi yang dibuat oleh pendatang Minangkabau dari Sumatera ke daerah lain Negeri Sembilan. Malahan Tuanku Yam Tuan yang di jemput dari Minangkabau datang ke Seri Menanti akan melalui Rembau dan berehat di Astana Raja. Tiada yang mengetahui sama ada Hj Mohammad Noor mengambil jalan yang sama.

Sebagaimana yang diketahui Hj Mohammad Noor ialah seorang peniaga yang kerap kali berulang alik ke Mekah. Menurut cerita anakandanya Hjh Sawiyah, Pekan Lama dimana keluarga beliau bermastautin sekarang adalah tempat berlaboh kapal Hj Mohammad Noor sebelum bandar Kuala Pilah wujud.

Menurut cerita cucunya Ayob Mohammad, Hj Mohammad Noor pernah balik ke Padang dan berkahwin disana tetapi tiada mendapat anak.

Pada pendapat Dato’ Hj Ibrahim, dari latar belakang asalnya dari kampung di tepi laut (Pariaman) membuatkan Hj Mohammad Noor adalah seorang ahli pelayaran dan mendorongnya berniaga hingga ke Mekah serta pernah tinggal disana untuk beberapa ketika.

Dato’ Hj Ibrahim juga berpendapat untuk mengenali Hj Mohammad Noor, beberapa soalan timbul seperti berikut:

(a) Tiada siapa di antara ahli keluarga yang mengetahui banyak hal tentang diri beliau. Bahkan anaknya Idris Hj Mohammad Noor tidak pernah memberi maklumat semasa mendapatkan maklumat salasilah keluarganya.
(b) Menurut anaknya Hjh Sawiyah, Hj Mohammad Noor amat rapat dengan Tuanku Yam Tuan Antah yang berkahwin dengan Che Siti, iaitu kekanda ninda Fatimah isteri kedua Hj Mohammad Noor. Mereka sangat akrab sebelum dan selepas mereka berkahwin. Menurut anaknya Hjh Sawiyah, Yam Tuan Antah pada mulanya bercadang berkahwin dengan ninda Fatimah tetapi Hj Mohammad Noor meminta Tuanku Yam Tuan Antah berkahwin dengan Che Siti kekanda Fatimah kerana Hj Mohammad Noor sendiri bercadang untuk berkahwin dengan ninda Fatimah.

Hj Mohammad Noor telah meninggal dunia ketika berumur 85 tahun iaitu pada hari kelahiran cucunya Yahya bin Mohammad iaitu dalam lingkungan tahun 1925. Ini bermakna Allahyarham Hj Mohammad Noor telah dilahirkan pada tahun 1840. Tarikh meninggal dunianya ialah pada 25hb Disembar 1925.

Kuburnya terletak di hujung Surau Tanjung Jati tepi Sungai Muar di Kuala Pilah, WALLAHU’ALAM.