Tuesday, December 11, 2007

LATAR BELAKANG



LATAR BELAKANG
ALLAHYARHAM HAJI MOHAMMAD NOOR BIN ABDULLAH


2. MAKLUMAT YANG DISAMPAIKAN OLEH CUCU TERTUA HJ MOHAMMAD NOOR IAITU HJ NOORDIN BIN HJ DAUD (JITRA, KEDAH) DAN CICITNYA ALLAHYARHAM HJ HUSSIN BIN TALIB (REMBAU) KEPADA CUCU DAN ANAK SAUDARANYA KAMARUDDIN BIN MOHAMMAD (SETIAUSAHA SEKRETARIAT) (SAUDARA MARA DARI REMBAU).

Maklumat permulaan telah disampaikan oleh cicit Hj Mohammad Noor iaitu Hj Hussin bin Talib dan maklumat seterusnya oleh cucu Hj Mohammad Noor iaitu Hj Nordin bin Hj Daud, kepada Kamaruddin Mohammad. Maklumat yang diterima adalah hampir sama dengan maklumat Hjh Sawiyah tetapi terdapat penambahan melalui faktor berikut:

1.1 Hj Nordin dan Hj Husin adalah cucu dan cicit tertua dari isteri pertama Bariah (Rembau) Hj Mohammad Noor sebelum beliau berkahwin dengan Fatimah isteri kedua (Kuala Pilah).
1.2 Hj Mohammad Noor telah berkahwin dengan Bariah isteri pertama dan telah mendapat empat (4) orang anak iaitu Hindon, Jariah, Md Yatim dan Hj Daud serta empat belas (14) orang cucu.
1.3 Menurut dari pendapat Tok Ayob bin Mohammad semasa Hari Raya Aidilfitri kedua (141007) di Kuala Pilah, Tok Ayob menyatakan yang Hj Mohammad Noor telah berkahwin di Rembau dahulu, mendapat anak dan cucu, barulah Hj Mohammad berkahwin dengan isteri kedua Fatimah di Kuala Pilah.

Berikut adalah susunan maklumat yang diterima daripada Tok Ngah Hj Nordin Hj Daud dan arwah Pa’ Long Husin Talib kepada Kamaruddin Mohammad dan mengambil cerita moyang Hjh Sawiyah serta kajian yang dibuat:

Haji Mohammad Noor yang berasal dari Sumatera semasa umur mudanya telah berhijrah ke Mekah untuk menuntut ilmu agama Islam dan telah bermastautin agak lama di Mekah. Pada zaman dahulu hanya orang yang berkeupayaan, berharta atau orang orang kaya sahaja yang boleh ke-luar negeri untuk menuntut ilmu. Menurut Hj Husin b Talib, Hj Mohammad Noor adalah berketurunan kerabat diraja daripada Pagaruyung. Pendapat ini disokong oleh Hj Nordin bin Hj Daud, cucu Hj Mohammad Noor.

Pada tahun 1869 apabila Tengku Yam Tuan Antah ibni Yamtuan Radin naik takhta sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Yam Tuan Antah sedang mencari Penasihat Agama Istana. Tengku Yam Tuan Antah telah mendapatkan pertolongan daripada kerabat diraja Pagaruyung untuk memperkenalkan seseorang untuk jawatan tersebut.

Pihak istana Pagaruyung telah mencadangkan Hj Mohammad Noor atau nama sebenarnya ialah Raja Haji Mohammad Noor bin Raja Abdullah yang masih berada di Mekah. Umur Hj Mohammad Noor pada masa itu ialah lebih kurang 29 tahun (1869-1840 = 29). Seorang yang bernama Abdul Rahman berkemungkinan keturunan kerabat diraja telah diminta memanggil balek Hj Mohammad Noor ke Kuala Pilah untuk menghadap Yamtuan Antah.

Hj Mohammad Noor telah berkhidmat sebagai Penasihat Agama Yamtuan Antah dan disinilah hubungan mereka amat akrab seperti yang diceritakan oleh anak Hj Mohammad Noor iaitu Hjh Sawiyah. Berdasarkan kepada faktor umur dan tahun, umur Hj Mohammad Noor adalah lebih kurang tidak jauh daripada umur Tengku Yamtuan Antah atau berkemungkinan mereka berdua adalah talian persaudaraan dalam golongan kerabat Pagaruyung.

Oleh kerana keakrapan perhubungan mereka, Tengku Yamtuan Antah mencadangkan Hj Mohammad Noor berkahwin dengan Che Siti dan Tengku Yamtuan Antah berkahwin dengan kekanda Che Siti iaitu Fatimah. Hj Mohammad Noor tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mencadangkan Tengku Yamtuan Antah berkahwin dengan Che Siti dan beliau berkahwin dengan Fatimah. Tengku Yamtuan Antah akhirnya memilih Che Siti sebagai isteri keduanya atas cadangan Hj Mohammad Noor.

Walau bagaimana pun berdasarkan pembelajaran agama Islam yang mendalam, minat Hj Mohammad Noor lebih kepada berniaga dan pendakwah agama. Menurut tatasusila kerabat diraja, raja tidak boleh berniaga atau sebaliknya. Berdasarkan kepada pertimbangan tersebut, Hj Mohammad Noor telah membuat keputusan untuk balek ke Sumatera tanpa meneruskan cadangan Yamtuan Antah untuk berkahwin kerana akan terikat sebagai kerabat diraja.

Apabila sampai di Sumatera (Pagaruyung), Hj Mohammad Noor membuat keputusan untuk berkahwin dengan orang biasa bukan kerabat diraja. Maka beliau telah memilih Kampung Gambang, Daerah Pariaman, Padang, Sumatera Barat. Kampung Gambang Daerah Pariaman dipilih oleh Hj Mohammad Noor kerana lokasinya ditepi laut dan sesuai dengan jiwanya mendapat ketenangan serta mudah untuk belayar bagi mencapai hasratnya untuk berniaga.

Walau bagaimana pun, menurut maklumat, perkahwinan dengan isterinya di Pariaman tidak memperolehi anak. Hj Mohammad Noor membuat keputusan untuk merantau ke Malaya dan terus ke Rembau. Sama ada isterinya di Pariaman meninggal atau di ceraikan tiada maklumat diperolehi.

Apabila sampai di Rembau, Hj Mohammad Noor terus ke kampung Tanjung Keling, satu mukim di Kampung Masjid Senama, Rembau, dan telah berkahwin dengan Bariah. Menurut maklumat daripada arwah Hj Husin Talib dan Tok Ngah Haji Nordin Hj Daud yang sama berpendapat berikut:

(a) Untuk mengelak beliau diketahui berketurunan kerabat diraja dari Pagaruyung, Hj Mohammad Noor mengenalkan dirinya berasal dari Daerah Pariaman, Padang, Sumatera Barat sebagi perantau biasa.
(b) Semasa dalam pelayaran dari Sumatera ke Melaka, Hj Mohammad Noor telah dijejaki oleh lanun/perompak kerana beliau adalah pedagang emas dan lain lain barangan. Untuk mengelak dijejak, Hj Mohammad Noor telah menyamar sebagai pendakwah agama dan telah menyembunyikan keturunan kerabatnya.

Setelah berkahwin dengan Bariah dan mendapat empat (4) orang anak serta beberapa orang cucu, menurut maklumat dari arwah Hj Husin Talib, Hj Mohammad Noor telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Tuanku Yamtuan Muhammad ibni Al Marhum Yamtuan Antah sebagai Dato’ Sedia Diraja di Kuala Pilah. Setakat ini tiada maklumat diperolehi, samaada Hj Mohammad Noor berkahwin dengan Fatimah semasa pemerintahan Tengku Yamtuan Antah atau Tuanku Yamtuan Muhammad anakanda Yamtuan Antah.

Pemerintahan Tengku Yamtuan Antah sebagai Yang Dipertuan Besar ialah dari tahun 1869 hingga tarikh mangkat 1888 dan pemerintahan Tuanku Muhammad ibni Al Marhum Yamtuan Antah ialah diantara 1888 hingga tarikh mangkat 1933. Hj Mohammad Noor mula berkhidmat dengan Yamtuan Antah sebagai penasihat agama ialah pada tahun 1869. Tarikh meninggal dunia Hj Mohammad Noor ialah pada 25hb Disembar 1925. Berdasarkan pada maklumat tersebut Hj Mohammad Noor berkemungkinan berkhidmat dengan Tengku Yamtuan Antah sebagai Penasihat Agama dan dengan anakanda Yamtuan Antah iaitu Tuanku Muhammad sebagai Dato’ Sedia Diraja (S/Usaha Sulit).

Menurut maklumat, oleh kerana minatnya untuk berniaga dan sebagai pendakwah agama, pihak istana telah melucutkan nama raja dan Hj Mohammad Noor menjadi rakyat biasa. WALLAHU’ALAM.

No comments: